BAB 3
SISTEM PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN
BADAN PENTADBIR DAN PELAKSANA (EKSEKUTIF)
Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk membolehkan pelaksanaan sistem ini. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (pentadbiran).
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Berdasarkan kepada peruntukan ini negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.
Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia untuk di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Terdapat beberapa perkara yang diletakkan di bawah kuasa negeri-negeri dan setiap negeri tersebut diberikan hak untuk mentadbir perkara-perkara tersebut.
s
ebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan, institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Raja-raja Melayu adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri .Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri Besar masing-masing.
Struktur Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia merupakan lambang struktur demokrasi Kerajaan dan mencerminkan aspirasi rakyat melalui perwakilan yang dipilih. Parlimen Malaysia yang merupakan badan penggubal undang – undang tertinggi negara terdiri daripada tiga komponen utama:
1. | Yang Di-Pertuan Agong |
2. | Dewan Negara |
3. | Dewan Rakyat |
Berikutan pilihan raya umum yang pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Pertama Persekutuan Tanah Melayu diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Pada tarikh tersebut, Dewan Negara dan Dewan Rakyat buat julung-julung kalinya bersidang serentak di Dewan Tunku Abdul Rahman. Aturan Urusan Mesyuarat yang pertama ialah pemilihan Yang Di-Pertua bagi kedua-dua Dewan tersebut. Ini diikuti oleh majlis mengangkat sumpah oleh kesemua 38 Ahli Dewan Negara dan 104 Ahli Dewan Rakyat.
Pada 16 September 1963, Malaysia telah terbentuk apabila Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi sebahagian daripadanya. Berikutan itu, nama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah bertukar kepada Parlimen Malaysia. Tarikh tersebut juga mencatat satu lagi sejarah penting apabila persidangan Parlimen diadakan di bangunan baharunya sendiri yang tersergam indah dalam kawasan Taman Tasik Perdana dengan keluasan 16.2 hektar.
Kini, keahlian Parlimen Kedua Belas bertambah kepada 70 ahli bagi Dewan Negara dan 222 ahli bagi Dewan Rakyat. Parlimen Malaysia akan terus menjadi institusi yang dijunjung tinggi oleh semua rakyat Malaysia dan akan terus menjadi lambang demokrasi berparlimen negara untuk selama-lamanya.
http://www.parlimen.gov.my/pengenalan.html?uweb=p&view=23
No comments:
Post a Comment