ULASAN BAB 6 : PEMBANGUNAN NEGARA
Salah satu langkah lain yang dapat digunakan untuk mewujudkan pembangunan lestari ialah pihak berwajib perlu menjatuhkan hukuman terhadap individu atau organisasi yang telah didapati bersalah memusnahkan alam sekitar semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan dan memusnahkan alam seperti mengenakan dendaan yang tinggi. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak sepertimelepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang merosakkan alam sekitar.
Di samping itu, pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti kerana alah bisa tegal biasa. Langkah ini akan melahirkan generasi yang dapat menguruskan pembangunan negara yang lestari dan mapan. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mewujudkan pembangunan yang lestari.
Jika kita lihat dari sudut yang lain pula, aktiviti penanaman semula perlu dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana penanaman semula dapat menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang untuk melakukan projek pembanguan negara. Dengan ini, keseimbangan alam sekitar dan ekologi negara tercapai. Sesungguhnya, memang tidak dapat kita nafikan bahawa negara kita perlu membangun untuk mencapai negara kelas pertama. Namun begitu, kita tidak boleh bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa. Kita haruslah memiliki minda yang lestari iaitu setiap pokok yang ditebang perlu diganti kembali. Pengusaha kayu balak dan pihak pemaju tidak harus bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan mereka seharusnya berminda lestari dalam memastikan pembangunan lestari tercapai. Ironinya, pembangunan lestari dapat dicapai melalui aktiviti penanaman semula.
Sebagai konklusinya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat membangunkan negara dengan lestari jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jika pembangunan lestari terbantut, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat mewujudkan pembangunan yang seimbang tanpa melakukan kemusnahan alam sekitar. Semoga generasi cucu cicit kita dapat menikmati kemajuan dan pembangunan negara dengan diselimuti kehijauan alam sekitar.
No comments:
Post a Comment